Back to Page One.

vote socialism!

psm: gajah sama gajah berjuang, kancil mati
di tengah-tengah?

Dalam keghairahan parti-parti politik bertanding dalam pilihanraya umum 1999, ada juga kalangan individu dan kumpulan yang turut memeriahkan keadaan.

Contohnya Parti Sosialis Malaysia (PSM), yang walaupun permohonan untuk pendaftaran mereka sudah ditolak oleh Menteri Dalam Negeri, turut mahu bertanding untuk menyuarakan hasrat dan ideologi mereka.

Malah, penolakan permohonan seolah-olah bukan masalah besar kepada mereka kerana PSM sudah pun mengambil tindakan undang-undang terhadap Menteri dan Kerajaan kerana mendakwa bertindak tidak adil terhadap mereka.

Namun, bagi menghadapi pilihanraya umum kali ini, ramai yang menganggap PSM akan menghadapi masalah besar. Malah, di kalangan pembangkang sendiri, yang kini menamakan diri mereka Barisan Alternatif (walaupun tiada sebarang pertubuhan atau barisan, atau organisasi, atau logo yang sama), turut mempertikaikan tindakan PSM.

Kebanyakan di kalangan BA menganggap PSM cuma akan memecahkan undi sahaja.

Ada pula yang mengatakan jika PSM tidak ada wang, tidak perlu mereka bertanding.

Benar juga andaian sedemikian kerana di Malaysia, wang menentukan segala-galanya dalam politik. Yang pelik, apabila penyokong-penyokong BA mendakwa Barisan Nasional kotor dengan politik wang, mereka sendiri yang memandang rendah terhadap PSM yang jelas parti miskin yang mewakili rakyat miskin.

Bagi kami, PSM bertindak wajar kerana ia benar-benar mencerminkan "alternatif" yang bukan sekadar mahu mengambil alih tempat BN, iaitu sekadar menukar pimpinan tetapi sistem kapitalisme yang ada tetap diteruskan - akhirnya yang kaya bertambah kaya dan yang miskin terus papa kedana.

Dalam pada itu, kami juga bimbang andainya PSM sendiri mula gusar dengan kedudukan mereka. Ada kemungkinan parti-parti tertentu dalam BA yang mungkin cuba mempengaruhi PSM supaya menarik diri dari bertanding.

Satu lagi kebimbangan ialah PSM, kalaulah semata-mata mahu bertanding, sanggup menggadaikan prinsip dan ideologi kerana mahu bersama BA yang jelas bercampur-aduk ideologi liberal, perkauman dan pelampau agama.

Walaupun kami hanya sekumpulan rakyat Malaysia yang prihatin dan bepegang kepada prinsip sosialisme demokratik, kami tidak rela melihat PSM kehilangan punca dan sanggup bekerjasama dengan parti-parti dan pemimpin-pemimpin yang meletakkan rakyat di tangga yang rendah.

Di Malaysia, sama ada BN atau BN, kebanyakan (tidak semua) pemimpin politik semakin merasakan diri mereka lebih tinggi daripada rakyat.

Rumahbesar, kereta besar, perniagaan mula diceburi, anak isteri bapa dan sanak-saudara diberi peluang perniagaan, pekerjaan dan politik (apa yang selalu dikatakan sebagai nepotisme dan kronisme). Dan ini bukan di kalangan BN semata-mata tetapi ada juga pemimpin-pemimpin dalam BA yang sedemikian.

Jadi harapan kami ialah PSM, walau macam mana daif sekali pun, tetap berpegang teguh dengan prinsip perjuangan mereka. Biar kalah tapi pantang undur sebelum berjuang.

Jika tidak, sayang sekali PSM hanya akan menjadi seperti parti-parti nyamuk yang hidup segan mati tak mahu.

Sejarah menunjukkan parti yang hilang wibawa sudah tidak diingat lagi seperti PEKEMAS, MARHAEN, KITA, BARA, SDP, NASMA, CCC, DMIP dan sebagainya, yang hilang dibawa angin lalu.

Jika PSM berani dan tegas, jutaan tahniah kami ucapkan. Jika sekadar mahu menumpang "glamour" suasana pilihanraya, alangkah kecewanya rakyat Malaysia yang masih ramai lagi ditindas dan hidup dalam pelbagai tekanan, samaada yang berkolar biru ataupun berkolar putih.

Selagi hidup makan gaji,upah RM500 sebulan atau RM5,000 tidak banyak bezanya, kerana yang tetap untung dan terus kaya-raya adalah majikan dan kuncu-kuncu mereka, termasuk ahli-ahli politik.

Socialist Malaysia
Are you going to vote in the 1999 Malaysian general elections?

If Yes, why?

and more ....




"Revolution: in politics, an abrupt change in the form of misgovernment."
- Ambrose Bierce -

© 1998-1999 socialistmalaysia. All queries to the webcomrade.