Back to Page One.

MENGAPA KITA HARUS
MENENTANG SOSIALISME?

Oleh Anak Melayu Merdeka

Sosialisme adalah sistem hidup yang menjamin hak asasi manusia, hak sama rata, demokrasi, kebebasan dan sekularisme. Jaminan ini akan mewujudkan keadilan secara keseluruhan.

Itu kata golongan sosialis. Kononnya sosialisme berlaku adil kerana tidak akan ada lagi diskriminasi kaum, agama dan jantina.

Ideologi ini adalah bertentangan dengan budaya Malaysia yang tidak memerlukan hak asasi manusia kerana kita masih mahu terus hidup di bawah kongkongan feudalisme. Walaupun raja-raja sudah diperlembagaankan, pemerintah yang ada kekal dengan adat budaya yang sama.

Bagi kita orang Melayu, khususnya, feudalisme dalam erti kata rakyat menyembah pemimpin dan hanya pemimpin yang tahu apa yang baik untuk rakyat, adalah sesuai dan sebati dengan budaya hidup kita.

Sama ada pemerintah itu adalah Umno atau Pas atau Keadilan, ketuanan Melayu harus dipertahankan.

Oleh itu sosialisme yang memperjuangkan hak asasi manusia, terutama menyokong penuh Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat tidak diperlukan di Malaysia.

Hak sama rata bererti ketuanan Melayu dicabar. Bumi Malaysia adalah hak mutlak dan hak istimewa Melayu. Kaum lain tidak berhak untuk memimpin Malaysia walaupun mereka lahir dan dibesarkan di negara ini.

Kita mahu Umno atau Pas atau Keadilan terus mempertahankan hak semulajadi ini kerana ia adalah hak dan tradisi turun-temurun (dicipta pada tahun 1957 dan diperkukuhkan selepas 1969).

Demokrai yang menjadi junjungan sosialisme harus kita tentang kerana ia adalah menyebabkan rakyat menjadi penentu kepada segala keputusan perjalanan sistem negara.

Mana boleh! Hanya pemimpin-pemimpin Melayu dan Islam dalam Umno atau Pas atau Keadilan yang berhak diberi kuasa ini.

Rakyat Malaysia masih mentah dan belum cukup matang untuk dibenarkan menikmati demokrasi sebenar. Cukuplah pilihanraya lima tahun sekali dan sesekali dibenarkan rapat umum. Tetapi untuk rakyat, dan bukan pemimpin, yang menentukan arah tuju negara, ini tidak masuk akal sama sekali.

Hanya pemimpin Melayu, terutama yang berpendidikan agama Islam, yang layak membuat keputusan untuk kebaikan rakyat. Apalagi rakyat bukan Melayu dan bukan Islam tidak boleh diharap untuk menjaga kepentingan Melayu dan Islam.

Kebebasan yang didokong oleh sosialisme jelas bertentangan dengan budaya kita. Kerajaan, ketua masyarakat, ketua agama dan ibu bapa harus memainkan peranan untuk mengawal rakyat.

Rakyat Malaysia tidak boleh dibenarkan mengamalkan kebebasan kerana ia bertentangan dengan agama dan adat resam. Hanya pemimpin berhak diberi kebebasan untuk mengatur hidup 22 juta rakyat Malaysia.

Kebebasan akan mengakibatkan Malaysia huru-hara kerana rakyat Malaysia tidak mahu kebebasan. Rakyat sudah biasa hidup di bawah seribu satu undang-undang dan peraturan.

Kita tahu Umno atau Pas atau Keadilan, dan parti-parti lain seperti MCA, MIC, DAP dan sebagainya tidak rela rakyat diberi kebebasan. Ini adalah kerana kebebasan itu akan digunakan untuk mengutuk pemimpin-pemimpin politik yang selama ini memperjuangkan kepentingan kaum dan agama masing-masing.

Perkauman dan pemisahan antara kaum sudah sekian lama menjadi formula kejayaan Malaysia. Malah Pas dan Keadilan juga tidak mahu formula ini diubah kerana ia akan membolehkan pemimpin-pemimpin mereka meneruskan sistem yang ada, jika menjadi kerajaan, untuk tujuan perjuangan politik kaum dan agama.

Dengan menolak kebebasan, demokrasi dan hak sama rata, rakyat Malaysia khususnya orang Melayu dan Islam harus bersatu tenaga untuk menentang sosialisme habis-habisan kerana berpegang kepada sekularisme.

Kita orang Melayu yang semakin kuat pegangan Islam kita tidak rela sekularisme, atau yang dikatakan oleh tuan-tuan guru kita sebagai "politik suku, agama suku", bertapak di bumi Malaysia.

Kita tahu Umno, Pas dan Keadilan tidak akan menerima sekularisme di negara ini.

Mana boleh sekularisme diterima kerana ia akan mencabar hak-hak istimewa agama Islam yang selama ini berjaya menolak ke tepi hak-hak agama lain.

Islam adalah satu-satu agama yang benar, dan agama-agama lain adalah palsu belaka. Menjadi tugas dan tanggungjawab umat Islam untuk memastikan sekularisme, walaupun akan berlaku adil kepada semua agama, ditolak sama sekali.

Mustahil Islam boleh diletakkan setaraf dengan agama-agama lain. Ini yang cuba dilakukan oleh sekularime. Keadilan melalui sosialisme ini akan merugikan orang Islam. Jadi sekularisme harus ditentang.

Dengan ini, jelas sosialisme - walau bagaimana adil dan saksama sekali pun - tidak sesuai di bumi Malaysia.

Kita mahu keadaan tidak diubah. Biarlah Melayu dan Islam kekal menjadi tuan, walaupun ada sesetengah orang Melayu dan Islam yang liberal, sederhana dan progresif tidak setuju dengan kita.

Yang penting, keadilan boleh diketepikan jika ia mengancam sistem dan budaya feudal and konservatif kolot yang kita pegang serta amalkan selama ini.

Reformasi yang kita mahukan ialah menukar pemimpin, bukannya mengubah sistem hidup. Keadilan hanya untuk kita, yang lain hanya mengikut. Inilah sistem Malaysia yang perlu kita pertahankan.

Pergi jahanam dengan sosialisme! Kita tidak mahu keadilan dan demokrasi ala-sosialisme yang akan menjadikan Melayu setaraf dengan kaum-kaum lain dan akan meletakkan Islam sama darjat dengan agama-agama lain.

Malah, sanggupkah kita rakyat Malaysia menerima hakikat bahawa kaum wanita akan benar-benar setaraf; duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi, dengan lelaki?

Apakah kaum lelaki sanggup menjadi saingan wanita yang sepatutnya duduk di rumah menjaga anak, memasak dan mengemas rumah?

Sosialisme akan memberi sepenuh hak kepada wanita. Ini kita tidak boleh benarkan. Masyarakat kita sudah meletakkan tahap wanita dan mereka tidak boleh sesuka hati menentang kehendak Tuhan, agama dan budaya Timur.

Hancurkan sosialisme kerana wanita akan dijadikan setaraf dengan lelaki dan masyarakat Malaysia akan sama adil dan sama taraf tanpa mengira kaum, agama dan kepercayaan.

Mana boleh!!!


"Every revolutionary ends as an oppressor or a heretic."
- Albert Camus -

© 1998-1999 socialistmalaysia. All queries to the webcomrade.