Back to Page One.

bn dan
pembangkang
sama saja

Kita menentang Barisan Nasional and Dr Mahathir Mohamad sebab dia dan partinya menyokong kapitalisme. Dr Mahathir adalah sahabat karib kepada sistem yang menggalakkan jutawan-jutawan terus menjadi kaya-raya dengan cara mengetepikan rakyat untuk membolehkan golongan kapitalis ini meragut segala kekayaan negara untuk mereka. Sebab itu Malaysia masih ada orang miskin dan papa kedana. Sebab mereka tak ada peluang untuk kongsi kekayaan yang ada.

Itulah asas pegangan sosialisme yang mengutamakan hak sama rata untuk rakyat, terutama pembahagian ekonomi. Memang kita perlu modal untuk berniaga tapi jika tanpa pekerja, siapa yang akan menggerakkan perniagaan? Jika modal dan pekerja sama-sama berkongsi, mengapa gaji pekerja selalunya kurang dari 1% daripada keuntungan keseluruhan syarikat? Inikah keadilan?

Sebab itulah sistem kapitalis harus terus ditentang kerana kewujudannya hanya menguntungkan segelintir kumpulan yang sudah pun kaya-raya tetapi jutaan rakyat masih hidup dengan impian dan mimpi ngeri sahaja.

Jadinya, apabila ada pula parti-parti pembangkang mahu menentang Barisan Nasional, sudah pasti usaha sedemikian patut dipuji.

Namun, yang sedihnya, asas perjuangan untuk menentang Barisan Nasional oleh parti-parti pembangkang tidak begitu tepat. Boleh dikatakan semua parti-parti ini, yang kini menamakan diri mereka Barisan Alternatif, menjunjung sistem yang ada. Mereka cuma mahu Dr Mahathir diusir daripada tampuk pemerintahan negara, dan kalau boleh, Barisan Nasional ditumbangkan untuk giliran mereka pula berkuasa.

Inilah masalah untuk rakyat bagi membuat pemilihan. Sudahlah Barisan Nasional hanya penuh janji-janji kosong, ini pula Barisan Alternatif lebih kurang sama sahaja.

Apa tidaknya. Parti Keadilan pimpinan isteri Anwar Ibrahim hanya mahu merebut kembali pemerintahan dari UMNO dan Barisan Nasional. Sistemnya akan sama juga. Tiada sebarang ketegasan untuk perubahan. DEB dan Dasar Pembangunan Negara yang berteraskan kepada perpecahan masyarakat Bumiputera dan Bukan Bumiputera akan diteruskan.

Keadilan juga mahu meneruskan usaha menerapkan "nilai-nilai" Islam walaupun jelas semakin terhakis hak rakyat Malaysia untuk bercakap secara terbuka mengenai agama. Seolah-olahnya hanya Islam sahaja yang dibenarkan di negara ini sedangkan agama-agama dan kepercayaan lain terpaksa berbisik-bisik sahaja untuk amalan.

Setakat ini tidak ada seorang pun kroni-kroni Anwar Ibrahim yang meminta maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia setelah mereka merampas berbilion-bilion ringgit dari negara. Jika kita mahu Dr Mahathir dan kroninya meletak jawatan, maka Anwar dan kroninya juga patut tidak campurtangan dalam politik negara, kerana kedua-dua pihak sama-sama korup dan penuh dengan penyelewengan.

Sekarang Keadilan didalangi oleh pemimpin-pemimpin ABIM, bekas-bekas Pemuda UMNO dan bekas-bekas UMNO serta MIC dan MCA, termasuk DAP, yang tidak puas hati dengan pucuk pimpinan parti masing-masing. Bak kata orang kampung Anwar, caca marba punya parti.

Namun, Keadilan sehati-sejiwa dengan PAS yang tidak peduli sama ada rakyat Malaysia mahu negara Islam atau tidak. Sama ada rakyat menganggap hukum hududnya kejam atau tidak, PAS tidak peduli. Parti bertopeng agama ini merasakan dia adalah wakil Tuhan yang harus memaksakan hukum-hukum (dan bukannya menggalakkan kasih sayang dan rasa cinta sesama manusia walaupun berlainan kaum, agama dan cara hidup yang benar-benar dianjurkan oleh semua agama) terhadap rakyat Malaysia.

Mahu tak mahu, sesetengah ahli Keadilan yang minum arak, main perempuan, main lelaki, main judi, rasuah dan membuat bermacam perkara yang tidak begitu elok, terpaksa berlakon menjadi hipokrit untuk berbaik-baik dengan PAS. Semua pembangkang sedar PAS adalah parti pembangkang yang paling besar dan aktif (kerana sentimen agama mudah dibakar walaupun bertentangan dengan kehendak naluri fitrah manusia yang sudah ditetapkan oleh Tuhan). Jadi kuasa punya pasal, hidup berpura-puralah jadinya semua ahli pembangkang yang beragama Islam.

Kasihan sekali, kerana agama yang suci itu menjadi permainan politik kotor PAS dan Keadilan, dan tentunya UMNO juga tidak terlepas daripada mempermain-mainkan agama kerana tamak kepada kuasa. Kononnya untuk Islam dan Melayu. Islam mana, Melayu mana? Rakyat Malaysia bagaimana?

DAP pula, walaupun landasan ideologi dikatakan demokrasi sosial, turut tidak terlepas daripada permainan politik kotor. Sebuah parti yang berasaskan sekularisme tidak akan bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan pelampau agama yang menyalahgunakan agama. Tetapi DAP hanya memikirkan usaha untuk menambah sebanyak-banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri sahaja.

Kesannya nanti bagaimana? Pedulikah Lim Kit Siang terhadap apa yang akan berlaku kepada Malaysia jika PAS dan Keadilan dan UMNO meneruskan permusuhan mereka dengan cuba menjadi juara siapa lebih Islam dan Melayu? Apakah Malaysia akan menjadi seperti Bangladesh, India dan Pakistan yang tidak putus-putus rakyat mereka terbunuh kerana pertempuran kaum dan agama?

Mengapa DAP sanggup menggadaikan maruah demokrasi sosial semata-mata inginkan kemenangan?

Jika jawapannya ialah ya, apa bezanya Barisan Alternatif dengan Barisan Nasional? Kedua-duanya bermain apa dengan isu-isu perkauman dan keagamaan yang sempit. Rakyat Malaysia akan sekali lagi tertipu dengan muslihat politik yang akhirnya tiada siapa menang kecuali segelintir ahli politik dan dalang-dalang kapitalis mereka.

Rakyat Malaysia akan terus dibebankan dengan bermacam-macam jenis cukai, tol dan bil-bil yang terus menghakis pendapatan yang semakin merosot. Jika kapitalisme dibiarkan berleluasa, apa parti sekalipun yang tidak cuba mengubah sistem kejam yang ada sekarang, rakyat Malaysia adalah satu-satunya kumpulan yang akan terus rugi selama-lamanya.

Islam adalah agama suci. Begitu juga agama-agama lain. Orang Melayu penuh kebaikannya. Begitu juga kaum-kaum lain. Mengapa kita tidak bersatu sebagai rakyat Malaysia menolak segala penipuan dan kepalsuan yang akhirnya cuma menguntungkan kapitalis-kapitalis sama ada kapitalis tempatan atau luar negara.

Inilah perjuangan kita. Menentang kapitalisme yang menyebabkan segala masalah yang kita hadapi hari ini. Jom pakat tolak parti-parti yang menjadi gurkha kepada kapitalis, tidak kira sama ada dari Barisan Nasional atau Barisan Alternatif.


"Capitalism is the astounding belief that the most wickedest of men will do the most wickedest of things for the greatest good of everyone!"
- Keynes -

© 1998-1999 socialistmalaysia. All queries to the webcomrade.