Back to Page One.

bila
manusia
menjadi
tuhan

Penyanyi Ning Baizura dikecam oleh akhbar-akhbar Melayu kerana secara terbuka menyatakan impian sex beliau dalam satu wawancara dengan sebuah majalah tempatan yang berbahasa Inggeris.

Nampaknya, sebelum PAS dan konco-konconya membuat ulasan, akhbar-akhbar pro-kerajaan sudah awal-awal lagi menjatuhkan hukuman terhadap penyanyi itu.

Inilah Malaysia indah yang bukan sahaja tindakan dan kata-kata mahu diharamkan, malah impian, mimpi dan fantasi juga mahu disekat.

Bayangkan, Ning impikan hubungan sex dengan cara yang tersendiri. Fantasi itu cuma angan-angan. Baru mahu menjadi Mat Jenin, sudah melenting orang Melayu dan Islam.

Tapi bagaimana pula impian lelaki Melayu dan Islam yang tak pernah tinggal sembahyang dan sokong puak-puak Islam tetapi angan-angan macam kuda jantan setahun tak jumpa kuda betina?

Di mana-mana ceramah PAS, mesti ada jual ubat kuat. Sex nampaknya penuh dalam kepala otak orang yang mengaku kuat ugama, tak kiralah UMNO, PAS, ABIM atau tak ada parti pun.

Begitu juga, bagaimana dengan golongan fundamentalis Islam yang mempunyai impian untuk membunuh sesiapa sahaja yang menentang ideologi mereka?

Atas nama jihad, mereka boleh berangan-angan untuk sembelih orang kafir, termasuk orang Melayu dan Islam yang mereka sudah jatuhkan hukum sebagai kafir. Ini lagi dahsyat!

Sex tidak menyakitkan sesiapa menjadi sesuatu yang hina dan buruk sedangkan mengambil nyawa orang, itu kerja Tuhan, kini menjadi impian suci sesetengah orang Islam di Malaysia.

Syabas PAS! Tanpa perlu buka mulut, ada pemimpin-pemimpin UMNO dan akhbar-akhbar kroni yang menjadi jurucakap kepada parti hudud. Mereka kecam Ning habis-habisan.

Jadi, PAS dan UMNO, apa beza? Fundamentalis agama yakin hanya agama mereka sahaja yang benar, agama-agama orang lain semuanya tipu belaka. Inilah fahaman yang ada dalam benak kepala otak sesetengah orang Melayu dan Islam.

Penyelesaian untuk Malaysia adalah mewujudkan masyarakat demokrasi yang mengamalkan kebebasan penuh bagi memastikan hak sama rata dinikmati semua dalam negara yang sekular.

Semua agama adalah sama. Mereka yang beragama dan tidak beragama mempunyai hak yang sama sebagai rakyat dan warganegara.

Jika ini tidak dilaksanakan, gelap masa depan Malaysia. Daripada pemisahan Melayu-Bukan Melayu, akan wujud Islam-bukan Islam. Lepas itu, mungkin pemisahan muktamad Umat Terpilih vs Umat Yang Harus Disembelih. Ini sudah berlaku dahulu.

Jika Malaysia tidak demokratik, tidak ada kebebasan, tidak telus, tidak boleh dikritik ideologinya, tidak boleh ditegus pemimpinnya, tidak mengamalkan keadilan dan hak sama rata - negara itu adalah negara totalitarian macam zaman Hitler di Jerman dan Stalin di Russia.

Adakah ini negara Islam yang dikehendaki oleh rakyat Malaysia? Apakah orang Melayu mahu sebuah negara Islam yang tidak banyak bezanya daripada Jerman ala Nazi atau komunis ala Russia?

Jika tidak, fikirlah dalam-dalam. Jika kata-kata pakar ugama terpaksa diterima tanpa banyak soal, maka sudah pasti Tuhan membuat silap dengan mencipta akal. Jika akal tidak digunakan, memang tepat andaian Darwin bahawa manusia berasal dari beruk.

Ning Baizura bukan mangsa pertama. Sudah ramai yang kena dan ramai pula akan terus menjadi mangsa. Polis-polis akhlak berada di mana-mana sahaja. Merekalah wakil-wakil Tuhan di dunia ini.

Apakah Tuhan begitu kejam untuk menyuruh manusia menyiksa sesama manusia? Atau manusia yang sebenarnya sudah menyalah tafsir matlamat Tuhan mencipta manusia?

Setiap agama mengajar kebaikan. Jika ada manusia mahu menyakitkan, mencederakan atau membunuh orang lain, pastinya ia bukan dari ajaran agama.

Jadi, jika umat Islam tidak mahu orang lain berbuat tidak baik terhadap mereka, bukankah mereka juga patut membalas budi baik orang lain dengan cara yang sopan dan santun?

Renungkanlah. Mustahil Tuhan menciptakan umatnya untuk membunuh orang lain, yang juga ciptaanNya. Agama itu keamanan. Semua agama berkata begitu.

Mengapa kekacauan yang dicari?

Bukankah mudah untuk rakyat Malaysia, sama ada yang Melayu atau kaum lain, sama ada yang Islam atau agama lain, untuk berfikir demikian?


"A woman without a man is like a fish without a bicycle"
- Gloria Steinem -

© 1998-2000 socialistmalaysia. All queries to the webcomrade.