Back to Page One.

Risalah Parti Sosialis Malaysia

Parti Sosialis Malaysia kini menerbitkan risalah untuk mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ideologi, pendirian dan perjuangan mereka. Ini adalah risalah pengenalan mereka:

Parti Sosialis Malaysia atau Socialist Party of Malaysia adalah satu parti politik rakyat Malaysia yang berasaskan prinsip dan ideologi sosialisme yang bersifatkan perjuangan rakyat berteraskan keadilan sosial dan ekonomi - bagi mewujudkan masyarakat demokratik yang aman, makmur, maju, berakhlak mulia dan saksama.

Ia berjuang untuk memenuhi keperluan asas rakyat dan membebaskan rakyat daripada sebarang bentuk penindasan dan pemaksaan.

Matlamat Parti Sosialis

  1. Mengamalkan prinsip sosialisme sebagai cara hidup.
  2. Mempertahankan masyarakat dmeokratik dan progresif yang mengutamakan kerohanian, kemanusiaan dan keadilan sebagai asas ke arah pembangunan.
  3. Memastikan strategi pembangunan yang mewujudkan hubungan seimbang di antara keperluan sosial dan ekonomi di peringkat individu dan nasional.
  4. Mengagihkan kekayaan secara adil dan saksama.
  5. Memastikan tahap akhlak dan agama yang tinggi sebagai benteng terhadap penindasan, penyelewengan dan penyakit sosial yang lain.
  6. Melaksanakan sistem sosioekonomi yang mempunyai mekanisme dalaman untuk menghalang penindasan dan sifat tamak.
  7. Memberi peluang kepada rakyat berbilang kaum, jantina, agama, usia, pekerjaan dan daerah serta negeri untuk menyertai proses pembentukan ideologi dan pembinaan semula keutamaan-keutamaan nasional agar wujud persefahaman yang lebih jitu di kalangan kaum, agama dan budaya.
  8. Mengukuhkan hak asasi manusia pada setiap peringkat masyarakat dan mendedahkan sebarang bentuk penindasan, nepotisme, hipokrasi dan kepalsuan.
  9. Menghormati Perlembagaan Persekutuan yang menekankan kepada hak demokratik dan toleransi bahasa, budaya dan agama.
  10. Menjamin kebebasan bersuara, berpersatuan dan kecemerlangan intelektual.

Mengapa Kita Perlu Satu Parti Baru Sosialis?

  1. Parti-parti kapitalis telah gagal.
  2. Parti sosialis ini adalah untuk membela nasib majoriti rakyat iaitu para pekerja kilang, petani, peniaga kecil, orang asli, pelajar, pekerja semi-profesional dan sebagainya.
  3. Masalah rakyat bukan di antara orang Melayu, Cina, India atau di antara orang Islam dan bukan Islam - tetapi masalah di natara orang kaya dan miskin. Kekayaan negara dimiliki dan dibolot oleh segelintir kecil masyarakat dan sanak-saudara mereka manakala jutaan rakyat terpaksa membanting tulang dan memerah otak untuk mendapat sesuap nasi.
  4. Parti sosialis akan lebih mementingkan isu-isu asas rakyat seperti pekerjaan, rumah, tanah, alam sekitar dan sebagainya.

Lima Ciri Penting Parti Sosialis

  1. Keahlian parti terbuka kepada mereka yang sanggup berkhidmat untuk rakyat.
  2. Cawangan merupakan komponen yang paling penting dalam parti.
  3. Semua mesyuarat parti berpegang kepada prinsip terbuka dan telus (transparent).
  4. Jawatankuasa pusat tidak mempunyai kuasa mutlak untuk memecat ahli.
  5. Parti sosialis bukan parti bermusim pilihanraya, sebaliknya berjuan sepanjang masa dan sentiasa bersama rakyat.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut boleh menghubungi:

Parti Sosialis Malaysia
No 72-B Taman Sri Langat
Jalan Reko
43000 Kajang
Selangor.
Tel: 03-8370766


email webmaster for updates!