Back to Page One.

Rakyat Malaysia Menolak Perkauman dan Fanatik Agama

Sekian lama rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu, membiarkan diri mereka ditipu oleh pelbagai pihak. Bukan sekadar pemerintah Barisan Naisonal melalui Umno yang sering menakut-nakutkan orang Melayu dengan tohmahan kononnya nasib orang Melayu akan tergugat sekiranya mereka berani menukar kerajaan. Kononnya kaum lain, khususnya orang Cina, akan menguasai dan menindas mereka jika menolak Umno dan Barisan Nasional. Tetapi juga dimomokkan dengan perkauman dan fanatisme agama yang sempit.

Setelah dibuktikan melalui beberapa isu, termasuk pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, jelaslah bahawa Barisan Nasional dan Umno hanyalah parti-parti politik yang mempunyai cita-cita dan matlamat sebagai badan siasah dan tidak lebih dari itu. Dengan menggunakan propaganda dan alat kerajaan, Barisan Nasional dan Umno menguasai pemikiran orang Melayu yang agak mudah terpedaya dengan sentimen. (Ingat bagaimana pembangkang tewas dalam pilihanraya umum 1990 apabila Tengku Razaleigh Hamzah yang ketika itu pemimpin Semangat 46 digambarkan memakai sigah (tengkolok Kadazan) yang mempunyai corak palang yang digembar-gemburkan sebagai palang Kristian? Begitu mudah orang Melayu ketakutan...)

Namun, apabila berlaku kes pemecatan Anwar dan perkara-perkara berkaitan dengannya, orang Melayu seolah-olah sedar bagaimana mereka dipermain-mainkan oleh parti pemerintah. Seolah-olah ada kesedaran baru untuk menentang Umno pimpinan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad yang dikatakan begitu zalim memecat Anwar.

Namun, jika didalami sedikit, ini bukan perkara yang nyata. Sebabnya orang Melayu masih lagi hidup dalam angan-angan lama mereka, ke arah perkauman Melayu dan kefanatikan agama. Lihat bagaimana pembangkang Pas menerima beribu-ribu ahli baru, semata-mata orang Melayu marahkan Mahathir. Hingga bila keadaan ini akan berlarutan?

Sudah lama dalam cengkaman perkauman Umno, kini orang Melayu ingin mencuba pula tempurung Pas, parti yang jelas tidak mahu dan tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak kecuali mereka yang menerima ideologi cetek mereka yang mahu menubuhkan "negara Islam", walaupun jelas eksperimen pemerintahan Islam di banyak negara seperti Iran, Pakistan, Arab Saudi and Sudan memperlihatkan penindasan, ketidakadilan dan "double standard" berleluasa.

Apakah orang Melayu tidak sedar bahawa keunikan dan keindahan budaya mereka semakin lama dihakis oleh pemikiran yang mendakwa Islam tetapi sebenarnya menghakis budaya Melayu yang sopan, lembut tetapi tegas dan jujur ikhlas? Mengapa orang Melayu mudah terpedaya dengan slogan agama sedangkan pada amalannya, jelas ahli-ahli politik yang mengaku agama dan manusia-manusia yang mengaku ulamak adalah mereka yang taksub dengan ideologi politik mereka tanpa mempedulikan kemanusiaan.

Negara Islam dan hukum-hukum Islam yang cuba dibawakan Pas dan penyokong-penyokong mereka dalam pertubuhan-pertubuhan seperti Abim, JIM dan beberapa badan agama lain, tidak lebih daripada percubaan memaksa semua orang Melayu tunduk kepada hukum-hukum yang tidak mengenal erti kemaafan dan timbang rasa. Malah, matlamat mutakhir mereka ialah menjadikan Malaysia negara Islam.

Sebabnya? Jika eksperimen mereka berjaya dengan orang Melayu dan Islam, dan hukum-hakam Islam dikatakan sejagat (universal), mengapa tidak diselaraskan seluruh negara? Bagi golongan ini, pedulikan pendapat orang lain kerana ini hukum Tuhan, dan tidak ada sesiapa yang boleh melawan hukum Tuhan.

Persoalannya, Tuhan apakah ini yang begitu takbur dan taksub sehingga sanggup berlaku kejam pada hamba-hambaNya? Apakah Tuhan memaksa umatNya supaya mengadakan hukum jenayah seperti hudud tanpa mengira sama ada disetujui manusia lain atau tidak? Apakah orang Melayu sedar apa yang mereka sedang ikut sekarang atau semata-mata kerana marahkan kerajaan yang ada?

Mereka yang sering menggunakan internet harus meneroka lebih jauh dengan melihat websites yang boleh membuka mata - dari kaca mata yang tidak sempit. Lihat sahaja penyalahgunaan kuasa pemerintah-pemerintah dan ulamak-ulamak di negara-negara umat Islam, atas nama Islam. Adakah Islam akan menjadi keji kerana perbuatan mungkar mereka yang mendakwa diri sebagai pakar agama?

Orang Melayu, khususnya wanita Melayu, sering menjadi mangsa pakar-pakar agama lelaki. Ramai lelaki sehingga kini, termasuk atau khususnya ulamak-ulamak, tetap berpegang kepada pendapat bahawa wanita dirogol kerana berpakaian menggiurkan dan seksi. Inilah pandangan tidak rasmi yang popular di kalangan orang Melayu Islam. Apakah ini yang diajar Tuhan? Apakah ini yang disokong penuh oleh wanita Melayu Islam? Jika benar, mengapa banyak kes kanak-kanak kurang dari 5 tahun atau wanita tua berumur 70 tahun dirogol?

Apakah Islam agama yang menetapkan wanita adalah bakal ahli neraka? Mengapa wanita Melayu Islam berdiam diri dan merana diri membiarkan pencabulan hak dan kehormatan mereka dicabul saban hari?

Inilah persoalan yang ditujukan kepada Pas dan Umno yang kononnya membela orang Melayu dan Islam. Jika orang Melayu enggan menerima hakikat ini, nampaknya sebarang usaha "reformasi" atau pembaharuan hanya tinggal angan-angan kosong. Lebih buruk lagi, untuk tahun mendatang, ia mungkin menjadi mimpi ngeri.

Kita merayu kepada orang Melayu supaya memikirkan kembali apa yang sebenarnya yang mereka mahu. Jika sekadar mengatakan, "saya tidak pandai agama dan saya serahkan kepada ulamak untuk menentukannya", maka kata orang putih - "we will get what we deserve".

Minda orang Melayu akan terus tertutup jika membiarkan hidup ditentukan oleh golongan ulamak, sama ada di dalam Pas, Umno atau bebas. Ulamak-ulamak ada tempat dan status mereka tetapi bukannya menentukan sama ada orang Melayu itu atau ini akan masuk syurga atau neraka.

Jika Tuhan menetapkan di dalam Al-Quran mengenai hukum-hukum tertentu, termasuk memberi ruang untuk menusia memaafkan dan mengampunkan kesalahan, mengapa harus umat Islam mengikut ulamak-ulamak yang menokok-tambah hukum-hukum Tuhan dan kemudian mendakwa pula ia adalah hukuman Tuhan. Apakah orang Melayu tidak sedar bahawa pakar-pakar agama mereka pandai-pandai menjatuhkan hukum yang bertentangan dengan Al-Quran, termasuk yang daripada ulamak-ulamak Arab pada abad ketujuh dan kelapan dahulu?

Perkaranya mudah sahaja. Jika Islam dikatakan agama mudah dan tiada paksaan dalam agama, haruskah orang Melayu terus-menerus ditipu dan membiarkan diri ditindas oleh muslihat pakar-pakar agama yang hanya mementingkan agenda politik dan peribadi mereka?

Sama ada pakar-pakar agama itu dari Pas atau Umno, kita sekali lagi merayu orang Melayu supaya menerima hakikat bahawa persabahatan dan kasih sayang antara kaum adalah satu-satunya jalan untuk mengelakkan sebarang bentuk pergaduhan dan pertumpahan darah.

Fikirkanlah. Jika sosialisme dianggap tidak betul, tanya dahulu mengapa, kemudian ketahuilah sedikit sebanyak mengenainya, sebelum menolak atau menerimanya. Tak perlu pertikaikan mengenai Lenin, Stalin, Mao Zedong dan lain-lain komunis kerana kami juga menolak ideologi mereka yang hampir sama seperti agama buatan manusia, di mana pemimpin-pemimpin komunis itu dianggap seperti nabi. Itu bukannya sosialisme yang meletakkan kebebasan, demokrasi, keadilan dan kesamarataan semulajadi sebagai asas perjuangan umat manusia.

Agama adalah penting dalam hidup dan kami menggalakkan setiap manusia mempunyai agama atau pegangan hidup yang suci dan positif tanpa mendiskriminasi mana-mana pihak. Kami percaya kebebasan beragama untuk Malaysia. Kebebasan yang menyatakan bahawa jika orang Islam boleh berdakwah kepada orang bukan Islam, maka hak yang sama diberikan kepada orang bukan Islam untuk berdakwah kepada orang Islam. Apa perlu ditakutkan jika Islam itu agama yang benar dan umatnya utuh dengan keimanan tinggi?

Inilah cita-cita Malaysia sejati. Rakyat hidup aman damai dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain tanpa prasangka.


email webmaster for updates!