Back to Page One.

Pas - Parti Pelampau Agama

Oleh Amir Sharifuddin

Pas sebagai parti yang menggunakan agama untuk menarik perhatian pengundi akan sentiasa terperangkap dengan ideologi mereka. Dalam usaha mewujudkan keadilan sejagat di Malaysia, Pas yang terikat dengan ideologi ciptaan ulamak zaman silam - dengan konsep negara Islam, undang-undang Islam seperti syariah dan hudud dan pemaksaan pakaian, makanan dan hal-hal lumrah seharian yang didakwa bercorak Islam - sudah tentu janggal untuk duduk dan berdiri bersama kumpulan-kumpulan dan parti-parti politik lain di Malaysia.

Walaupun musuh mereka pada masa ini satu sahaja - Dr Mahathir Mohamad, persoalan yang jarang difikirkan ialah apa akan jadi selepas Mahathir? Apakah rakyat akan sekali lagi tertipu oleh ahli politik yang bijak berbicara tetapi hasilnya kosong, sama seperti manusia-manusia di dalam Umno dan Barisan Nasional?

Oleh itu, Pas harus ditolak mulai sekarang kerana tidak ada banyak bezanya di segi prinsip di antara Pas dan Umno. Yang satu menggunakan agama, yang satu lagi perkauman. Sudah lama terbukti Umno yang kononnya memperjuangkan Melayu hanya mengkayakan segelintir Melayu dengan menindas Melayu serta rakyat Malaysia yang lain.

Pas pula, masih sebagai pembangkang, dan tidak banyak kesalahan nyata yang dapat dilihat. Itupun jika diteliti pemerintahan di Kelantan sejak 1990 tidak banyak bezanya dengan pemerintahan Barisan Nasional di mana-mana negeri. Jadi jika rakyat berazam sungguh mahu menumpaskan Barisan Nasional, mengapa pula harus memberi kepercayaan kepada Pas yang akan tetap mahu melaksanakan pemerintahan Islam (yang kononnya disuruh oleh Tuhan) tanpa mengira sama ada disokong atau ditentang oleh rakyat.

Sememangnya Pas mempunyai kelebihan menggunakan agama, terutama dalam manipulasi minda Melayu yang begitu takut dengan apa-apa sahaja yang ada kaitan dengan agama. Pas mendakwa hukum Islam yang dibawanya adalah kehendak Tuhan. Menentang hukum sedemikian bererti menentang Tuhan. Jadi, kerana takutnya orang Melayu dengan kemarahan Tuhan jika menentang hukumNya, maka mahu tak mahu, terpaksa sokong Pas jika sudah tidak suka lagi kepada Umno.

Sedangkan jika orang Melayu dan rakyat Malaysia yang lain memikirkan sedikit, segala yang ada di samping kita sehari-harian adalah perkara duniawi. Hukum-hakam dan undang-undang adalah ciptaan manusia untuk manusia, dengan diinspirasikan oleh Tuhan melalui kitab-kitab suciNya. Tuhan adalah sumber inspirasi dalam kehidupan seharian dan sumber kebenaran mutlak dalam kehidupan kerohanian kita. Mengapa perlu dicampuradukkan sesuatu yang maha suci itu dengan politik seharian yang jelas tidak begitu bersih.

Rakyat Malaysia tidak harus takut dengan dakyah Pas yang kononnya menentang hukum dan ideologi ciptaan zaman silam itu sebagai penentangan terhadap Tuhan. Kita tahu bahawa Tuhan mengajar kita untuk berkasih sayang sesama manusia dan bukannya menjatuhkan hukum demi hukum terhadap orang lain atau sesama kita.

Beranikan diri, dan katakan pada Pas, jangan bermain agama kerana politik keagamaan telah membunuh jutaan umat manusia tanpa mengira agama. Yang kalah ialah rakyat. Pemimpin tetap hidup senang lenang seperti biasa. Inikah politik Pas?

Jika mahu menolak Umno dan Barisan Nasional, jangan lupa menolak Pas. Kesemuanya adalah simbol perkauman dan pelampau agama yang sudah lama menyebabkan hidup di Malaysia sentiasa tegang. Tidak ada tanda kasih sayang kecuali curiga-mencurigai sesama sendiri. Apakah ini yang kita mahukan untuk Malaysia?

Untuk Malaysia yang aman dan adil, tolak segala bentuk perbuatan melampau, sama ada perkauman Umno, MCA, MIC ataupun fanatisme agama Pas.

Hidup Malaysia!


email webmaster for updates!