Back to Page One.

PRM bukan parti sosialis

Partai Rakyat Malaya yang ditubuhkan oleh Ahmad Boestaman dan beberapa pemimpin nasionalis progresif Melayu pada tahun 1955 mengalami pelbagai tekanan dan penindasan daripada pemerintah Perikatan yang didokong oleh Umno, MCA dan MIC.

Setelah ditohmah teruk dengan propaganda yang menakut-nakutkan rakyat dan apabila ramai pemimpin Partai Rakyat ditahan oleh pemerintah, parti yang berteraskan Marhaenisme (ideologi ala sosialis yang mengutamakan kaum tani dan nelayan serta buruh ciptaan Sukarno) dan Sosialisme itu menjadi lemah dalam kemelut politik negara sepanjang tahun 1960an.

Apabila Boestaman ditahan untuk kali ketiga oleh pemerintah, dan menjadi Ahli Parlimen pertama ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Partai Rakyat terpaksa memilih pimpinan baru.

Dan golongan intelek yang baru itu mendapati diri mereka tidak dapat bekerjasama dengan Boestaman, walaupun beliau kembali menjadi ketua selepas dibebaskan dari tahanan.

Menurut catatan sejarah yang disediakan oleh Parti Rakyat Malaysia (PRM):

"Beberapa perbezaan telah timbul di antara beliau dengan pemimpin-pemimpin muda ini. Akhirnya Boestamam berundur dari PRM untuk menubuhkan Parti Marhein, dan Kassim Ahmad mengambil alih kedudukannya sebagai Ketua PRM.

"Kassim telah membawa perubahan radikal kepada PRM. Beliau dapat mempengaruhi parti menukar namanya kepada Partai Sosialis Rakyat Malaya (kemudian Malaysia) dan menerima Sosialisme Saintifik sebagai ideologinya.

"Pertukaran ini memudahkan para pemimpin pemerintah dan juga pihak polis melemparkan berbagai tuduhan dan fitnah terhadap parti. Kononnya, parti mirip komunis dan semua pemimpinnya tidak mempercayai agama. Atas tuduhan-tuduhan yang palsu, ramai pemimpin dan penyokong parti terus ditahan dengan menggunakan ISA yang zalim itu. Sebahagian rakyat bertambah memandang serong dan takut akan PSRM yang begitu banyak sekali dimomok-momokkan.

"PRM semakin lemah dan dikesampingkan. Pada tahun 1986 Kongres di Johor Baharu membuat keputusan supaya Jawatankuasa Pusat mengkaji kedudukan parti dan membuat perakuan. Beberapa pertemuan dan perbincangan telah diadakan di antara pemimpin dengan kader dan anggota.

"Akhirnya, dalam Kongres 1990 di Kuala Lumpur telah dibuat keputusan untuk menggugurkan "Sosialis" dan kembali kepada nama asal, iaitu Parti Rakyat Malaysia. Selain itu ideologi itu pun digugurkan dari perlembagaan parti. Cita-cita dan tujuan-tujuan parti dipinda, supaya parti berasaskan kepada program yang lebih luas.

"Sungguhpun pindaan perlembagaan dan perubahan pimpinan telah dilakukan, akan tetapi PRM masih lemah. Terdapat berbagai faktor yang menyebabkan kelemahan ini. Ada faktor luaran dan ada faktor dalaman. Di antara faktor luaran yang penting ialah: (a) momokan terhadap sosialisme, (b) tekanan ke atas parti, dan (c) kesan politik perkauman. Momokan dan tohmahan palsu terhadap parti banyak dilakukan berdasarkan ideologinya.

"Sekarang ini, walaupun PRM telah menggugurkan sosialisme, namun pemimpin-pemimpin UMNO (seperti yang terbukti dalam beberapa pilihan raya umum) masih memburukkan parti dengan mengatakan kononnya ia terlalu radikal bahkan dipengaruhi oleh faham komunis."

Walau apa pun alasan yang diberikan oleh PRM, khususnya melalui presidennya Dr Syed Husin Ali, apa yang jelas ialah PRM bukan lagi sosialis.

Walaupun PRM dikatakan kembali kepada nama asalnya, catatan perlembangaan pertama Partai Rakyat pada tahun 1957 jelas menunjukkan bahawa Partai Rakyat berideologikan sosialisme (atau sosializem, mengikut ejaan pada tahun 1957 sebagaimana yang tercatat dalam perlembagaan parti tersebut).

Agak menyedihkan kerana masih ada golongan daripada generasi muda yang masih mahu hidup dalam angan-angan kononnya PRM adalah parti sosialis sedangkan kepimpinan PRM sendiri bersusah payah membuang nama dan ideologi sosialisme daripada perjuangannya.

Terbukti juga hasil daripada membuang "sial" itu tidak mendatangkan apa-apa faedah kerana PRM tidak dianggap saingan serius dalam arena politik negara. Kali terakhir PRM memenangi pilihanraya ialah pada tahun 1969, sewaktu ia masih dikenali sebagai PSRM.

Dengan membuang "S" daripada parti, PRM masih belum dapat memikat hati rakyat yang kononnya dikatakan takut kepada ideologi sosialisme. Bukankah ahli politik atau pejuang rakyat yang dipilih dan dihormati rakyat ialah mereka yang benar-benar bekerja dan membanting tulang untuk rakyat?

Apa guna menyalahkan itu dan ini jika tidak sanggup turun ke padang bersama rakyat tanpa takut atau bimbang. Jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.

Sekalung bunga kita berikan kepada pemimpin dan ahli PRM kerana terus tekad berjuang sejak sebelum Merdeka tetapi kita berharap pucuk pimpinan parti harus menjelaskan kepada generasi muda bahawa parti itu bukan lagi parti yang menjadi mangsa tohmahan dan penindasan pemerintah semata-mata kerana ideologi mereka mengancam dasar perkauman kerajaan, sejak dari Perikatan hingga ke Barisan Nasional.


email webmaster for updates!