MENGAPA KITA HARUS
MENENTANG SOSIALISME?
Oleh Anak Melayu Merdeka
Sosialisme adalah sistem hidup yang menjamin hak asasi manusia, hak
sama rata, demokrasi, kebebasan dan sekularisme. Jaminan ini akan
mewujudkan keadilan secara keseluruhan.
Itu kata golongan sosialis. Kononnya sosialisme berlaku adil kerana
tidak akan ada lagi diskriminasi kaum, agama dan jantina.
Ideologi ini adalah bertentangan dengan budaya Malaysia yang tidak
memerlukan hak asasi manusia kerana kita masih mahu terus hidup di
bawah kongkongan feudalisme. Walaupun raja-raja sudah
diperlembagaankan, pemerintah yang ada kekal dengan
adat budaya yang sama.
Bagi kita orang Melayu, khususnya, feudalisme dalam erti kata rakyat
menyembah pemimpin dan hanya pemimpin yang tahu apa yang baik untuk
rakyat, adalah sesuai dan sebati dengan budaya hidup kita.
Sama ada pemerintah itu adalah Umno atau Pas atau Keadilan, ketuanan
Melayu harus dipertahankan.
Oleh itu sosialisme yang memperjuangkan hak asasi manusia, terutama
menyokong penuh Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat tidak
diperlukan di Malaysia.
Hak sama rata bererti ketuanan Melayu dicabar. Bumi Malaysia adalah hak
mutlak dan hak istimewa Melayu. Kaum lain tidak berhak untuk memimpin
Malaysia walaupun mereka lahir dan dibesarkan di negara ini.
Kita mahu Umno atau Pas atau Keadilan terus mempertahankan hak
semulajadi ini kerana ia adalah hak dan tradisi turun-temurun
(dicipta pada tahun 1957 dan diperkukuhkan selepas 1969).
Demokrai yang menjadi junjungan sosialisme harus kita tentang kerana ia
adalah menyebabkan rakyat menjadi penentu kepada segala keputusan
perjalanan sistem negara.
Mana boleh! Hanya pemimpin-pemimpin Melayu dan Islam dalam Umno atau
Pas atau Keadilan yang berhak diberi kuasa ini.
Rakyat Malaysia masih mentah dan belum cukup matang untuk dibenarkan
menikmati demokrasi sebenar. Cukuplah pilihanraya lima tahun sekali dan
sesekali dibenarkan rapat umum. Tetapi untuk rakyat, dan bukan
pemimpin, yang menentukan arah tuju negara, ini tidak masuk akal
sama sekali.
Hanya pemimpin Melayu, terutama yang berpendidikan agama Islam, yang
layak membuat keputusan untuk kebaikan rakyat. Apalagi rakyat bukan
Melayu dan bukan Islam tidak boleh diharap untuk menjaga kepentingan
Melayu dan Islam.
Kebebasan yang didokong oleh sosialisme jelas bertentangan dengan
budaya kita. Kerajaan, ketua masyarakat, ketua agama dan ibu bapa
harus memainkan peranan untuk mengawal rakyat.
Rakyat Malaysia tidak boleh dibenarkan mengamalkan kebebasan kerana ia
bertentangan dengan agama dan adat resam. Hanya pemimpin berhak diberi
kebebasan untuk mengatur hidup 22 juta rakyat Malaysia.
Kebebasan akan mengakibatkan Malaysia huru-hara kerana rakyat Malaysia
tidak mahu kebebasan. Rakyat sudah biasa hidup di bawah seribu satu
undang-undang dan peraturan.
Kita tahu Umno atau Pas atau Keadilan, dan parti-parti lain seperti
MCA, MIC, DAP dan sebagainya tidak rela rakyat diberi kebebasan. Ini
adalah kerana kebebasan itu akan digunakan untuk mengutuk pemimpin-pemimpin
politik yang selama ini memperjuangkan kepentingan kaum dan agama
masing-masing.
Perkauman dan pemisahan antara kaum sudah sekian lama menjadi formula
kejayaan Malaysia. Malah Pas dan Keadilan juga tidak mahu formula ini
diubah kerana ia akan membolehkan pemimpin-pemimpin mereka meneruskan
sistem yang ada, jika menjadi kerajaan, untuk tujuan perjuangan politik
kaum dan agama.
Dengan menolak kebebasan, demokrasi dan hak sama rata, rakyat Malaysia
khususnya orang Melayu dan Islam harus bersatu tenaga untuk menentang
sosialisme habis-habisan kerana berpegang kepada sekularisme.
Kita orang Melayu yang semakin kuat pegangan Islam kita tidak rela
sekularisme, atau yang dikatakan oleh tuan-tuan guru kita sebagai
"politik suku, agama suku", bertapak di bumi Malaysia.
Kita tahu Umno, Pas dan Keadilan tidak akan menerima sekularisme di
negara ini.
Mana boleh sekularisme diterima kerana ia akan mencabar hak-hak
istimewa agama Islam yang selama ini berjaya menolak ke tepi
hak-hak agama lain.
Islam adalah satu-satu agama yang benar, dan agama-agama lain adalah
palsu belaka. Menjadi tugas dan tanggungjawab umat Islam untuk
memastikan sekularisme, walaupun akan berlaku adil kepada semua
agama, ditolak sama sekali.
Mustahil Islam boleh diletakkan setaraf dengan agama-agama lain. Ini
yang cuba dilakukan oleh sekularime. Keadilan melalui sosialisme ini
akan merugikan orang Islam. Jadi sekularisme harus ditentang.
Dengan ini, jelas sosialisme - walau bagaimana adil dan saksama sekali
pun - tidak sesuai di bumi Malaysia.
Kita mahu keadaan tidak diubah. Biarlah Melayu dan Islam kekal menjadi
tuan, walaupun ada sesetengah orang Melayu dan Islam yang liberal,
sederhana dan progresif tidak setuju dengan kita.
Yang penting, keadilan boleh diketepikan jika ia mengancam sistem dan
budaya feudal and konservatif kolot yang kita pegang serta amalkan
selama ini.
Reformasi yang kita mahukan ialah menukar pemimpin, bukannya mengubah
sistem hidup. Keadilan hanya untuk kita, yang lain hanya mengikut.
Inilah sistem Malaysia yang perlu kita pertahankan.
Pergi jahanam dengan sosialisme! Kita tidak mahu keadilan dan demokrasi
ala-sosialisme yang akan menjadikan Melayu setaraf dengan kaum-kaum
lain dan akan meletakkan Islam sama darjat dengan agama-agama lain.
Malah, sanggupkah kita rakyat Malaysia menerima hakikat bahawa kaum
wanita akan benar-benar setaraf; duduk sama rendah dan berdiri sama
tinggi, dengan lelaki?
Apakah kaum lelaki sanggup menjadi saingan wanita yang sepatutnya duduk
di rumah menjaga anak, memasak dan mengemas rumah?
Sosialisme akan memberi sepenuh hak kepada wanita. Ini kita tidak boleh
benarkan. Masyarakat kita sudah meletakkan tahap wanita dan mereka
tidak boleh sesuka hati menentang kehendak Tuhan, agama dan budaya
Timur.
Hancurkan sosialisme kerana wanita akan dijadikan setaraf dengan lelaki
dan masyarakat Malaysia akan sama adil dan sama taraf tanpa mengira
kaum, agama dan kepercayaan.
Mana boleh!!!