sosialisme
untuk
malaysia
Pada asasnya sosialisme adalah satu bentuk sistem pemerintahan yang
merangkumi semua peringkat pentadbiran yang berteraskan hak sama
rata (equality) yang ciri-ciri utamanya ialah demokrasi, kebebasan
dan keadilan.
Dalam konteks Malaysia, sosialisme mampu untuk mengimbangi semula
kacau-bilau yang dicetuskan oleh dasar kapitalisme – dasar yang
membolehkan golongan kaya menjadi semakin mewah manakala golongan
miskin terus menderita – yang dikecohkan lagi dengan dasar
mengutamakan satu kaum dalam semua bidang.
Pada dasarnya, diskriminasi positif adalah sesuatu yang selaras dengan
prinsip sosialisme di Malaysia. Tetapi satu-satu kaum tidak harus
ditonjolkan atas alasan mahu mencapai taraf sama rata dengan
kaum-kaum yang lain.
Penyelesaian melalui sosialisme ialah dengan mengutamakan keperluan
golongan miskin dan tidak berupaya seperti orang cacat, orang sakit,
kanak-kanak dan orang tua.
Dasar diskriminasi positif yang memberi keutamaan kepada golongan yang
ketinggalan dalam pelbagai bidang adalah asas perjuangan sosialisme di
Malaysia.
Dalam kehidupan sosial, sosialisme di Malaysia perlu memastikan
sekularisme (pemisahan di antara agama dan kerajaan) wujud dalam
masyarakat yang benar-benar demokratik.
Sosialisme yang menolak ketuanan mana-mana kaum di Malaysia turut tidak
dapat menerima penguasaan (domination) mana-mana agama di negara ini.
Ini untuk mengelakkan agama-agama dan kepercayaan lain serta
penganut-penganut mereka menjadi warga kelas dua.
Untuk mewujudkan keadilan yang berteraskan hak sama rata, sekularisme
menjadi pilihan sosialis di Malaysia.
Dalam hal ini, sekularisme yang diperlukan ialah dasar dan pelaksanaan
yang memastikan tidak ada mana-mana agama yang menguasai kerajaan dan
pihak berkuasa, dan sebaliknya, iaitu tidak ada kerajaan dan pihak
berkuasa yang menguasai mana-mana agama.
Kebebasan beragama dalam apa jua bentuk serta pemilihan untuk menganut
atau menukar agama adalah hak mutlak setiap rakyat. Tidak ada sesiapa
atau mana-mana undang-undang boleh menyekat hak asasi ini.
Hak-hak beragama juga termasuk hak membina rumah ibadat, menjalankan
upacara agama dan apa-apa kegiatan agama tanpa gangguan dari mana-mana
pihak, termasuk kerajaan dan pihak berkuasa.
Sosialisme di Malaysia harus wujud dalam keadaan di mana majoriti
rakyat memilih untuk menerima hak sama rata dan sekularisme, bagi
memastikan setiap rakyat bebas mengamalkan hak dan menunaikan
tanggungjawab sosial. Ini adalah asas demokrasi yang dijamin di
bawah sosialisme.
Dari sini juga, kebebasan dan keadilan dapat dilaksanakan sepenuhnya.
Hanya sikap terbuka dan kesanggupan untuk melaksanakan reformasi diri
dan minda dapat membolehkan rakyat Malaysia menerima sosialisme
sebagai sistem pemerintahan negara.
Selagi fikiran dan hati masih dibelenggu oleh sikap perkauman dan
keagamaan yang sempit, selagi itu Malaysia akan terus menjadi negara
yang sentiasa diancam bom jangka rusuhan kaum atau agama yang boleh menghancurkan masyarakat dan negara.
Sosialisme adalah keadilan, dan keadilan hanya wujud apabila ada hak
sama rata. Jika satu kaum atau agama menganggap dirinya sebagai yang
terbaik dari yang lain dan mahu kaum dan agama lain tunduk di bawahnya,
selagi itu tidak akan wujud hak sama rata, dan mustahil untuk sesiapa
sahaja berlaku adil.
Dalam hal ini, sosialisme di Malaysia hanya boleh wujud jika ada
persefahaman dan kerjasama antara rakyat tanpa mengira kaum, agama
dan adat budaya, dan parti atau fahaman politik yang wujud pada masa
ini. Ini adalah kerana parti-parti dan fahaman-fahaman politik yang
ada hari ini terlalu mirip kepada kaum dan agama, menyebabkan sukar
untuk duduk sama rata dan berbincang sebagai insan yang sama taraf.
Persefahaman dan kerjasama antara rakyat akan menjadi asas perpaduan
negara, iaitu sebagai dasar untuk membentuk nasionalisme Malaysia
yang tulen.
Diimbas kembali, sosialisme di Malaysia adalah demokrasi, hak sama
rata, hak rakyat miskin dan ketinggalan, kebebasan, sekularisme dan
nasionalisme.
Sosialisme di Malaysia mesti menolak perkauman, keagamaan yang sempit
dan sikap buruk seperti salahguna kuasa, rasuah, penyelewengan dan
pilih kasih, kerana semua gejala-gejala ini adalah penghalang kepada
kehidupan yang bersih, sejahtera dan adil.