bila
manusia
menjadi
tuhan
Penyanyi Ning Baizura dikecam oleh akhbar-akhbar Melayu kerana secara
terbuka menyatakan impian sex beliau dalam satu wawancara dengan
sebuah majalah tempatan yang berbahasa Inggeris.
Nampaknya, sebelum PAS dan konco-konconya membuat ulasan, akhbar-akhbar
pro-kerajaan sudah awal-awal lagi menjatuhkan hukuman terhadap penyanyi
itu.
Inilah Malaysia indah yang bukan sahaja tindakan dan kata-kata mahu
diharamkan, malah impian, mimpi dan fantasi juga mahu disekat.
Bayangkan, Ning impikan hubungan sex dengan cara yang tersendiri.
Fantasi itu cuma angan-angan. Baru mahu menjadi Mat Jenin, sudah
melenting orang Melayu dan Islam.
Tapi bagaimana pula impian lelaki Melayu dan Islam yang tak pernah
tinggal sembahyang dan sokong puak-puak Islam tetapi angan-angan
macam kuda jantan setahun tak jumpa kuda betina?
Di mana-mana ceramah PAS, mesti ada jual ubat kuat. Sex nampaknya penuh
dalam kepala otak orang yang mengaku kuat ugama, tak kiralah UMNO, PAS,
ABIM atau tak ada parti pun.
Begitu juga, bagaimana dengan golongan fundamentalis Islam yang
mempunyai impian untuk membunuh sesiapa sahaja yang menentang
ideologi mereka?
Atas nama jihad, mereka boleh berangan-angan untuk sembelih orang kafir, termasuk orang Melayu dan Islam yang mereka sudah jatuhkan
hukum sebagai kafir. Ini lagi dahsyat!
Sex tidak menyakitkan sesiapa menjadi sesuatu yang hina dan buruk
sedangkan mengambil nyawa orang, itu kerja Tuhan, kini menjadi
impian suci sesetengah orang Islam di Malaysia.
Syabas PAS! Tanpa perlu buka mulut, ada pemimpin-pemimpin UMNO dan
akhbar-akhbar kroni yang menjadi jurucakap kepada parti hudud.
Mereka kecam Ning habis-habisan.
Jadi, PAS dan UMNO, apa beza? Fundamentalis agama yakin hanya agama
mereka sahaja yang benar, agama-agama orang lain semuanya tipu belaka. Inilah fahaman yang ada dalam benak kepala otak sesetengah orang
Melayu dan Islam.
Penyelesaian untuk Malaysia adalah mewujudkan masyarakat demokrasi
yang mengamalkan kebebasan penuh bagi memastikan hak sama rata
dinikmati semua dalam negara yang sekular.
Semua agama adalah sama. Mereka yang beragama dan tidak beragama
mempunyai hak yang sama sebagai rakyat dan warganegara.
Jika ini tidak dilaksanakan, gelap masa depan Malaysia. Daripada
pemisahan Melayu-Bukan Melayu, akan wujud Islam-bukan Islam. Lepas
itu, mungkin pemisahan muktamad Umat Terpilih vs Umat Yang Harus
Disembelih. Ini sudah berlaku dahulu.
Jika Malaysia tidak demokratik, tidak ada kebebasan, tidak telus,
tidak boleh dikritik ideologinya, tidak boleh ditegus pemimpinnya,
tidak mengamalkan keadilan dan hak sama rata - negara itu adalah
negara totalitarian macam zaman Hitler di Jerman dan Stalin di
Russia.
Adakah ini negara Islam yang dikehendaki oleh rakyat Malaysia? Apakah
orang Melayu mahu sebuah negara Islam yang tidak banyak bezanya daripada Jerman ala Nazi atau komunis ala Russia?
Jika tidak, fikirlah dalam-dalam. Jika kata-kata pakar ugama terpaksa diterima tanpa banyak soal, maka sudah pasti Tuhan membuat silap dengan mencipta akal. Jika akal tidak digunakan, memang tepat andaian Darwin bahawa manusia berasal dari beruk.
Ning Baizura bukan mangsa pertama. Sudah ramai yang kena dan ramai
pula akan terus menjadi mangsa. Polis-polis akhlak berada di
mana-mana sahaja. Merekalah wakil-wakil Tuhan di dunia ini.
Apakah Tuhan begitu kejam untuk menyuruh manusia menyiksa sesama
manusia? Atau manusia yang sebenarnya sudah menyalah tafsir
matlamat Tuhan mencipta manusia?
Setiap agama mengajar kebaikan. Jika ada manusia mahu menyakitkan,
mencederakan atau membunuh orang lain, pastinya ia bukan dari ajaran
agama.
Jadi, jika umat Islam tidak mahu orang lain berbuat tidak baik terhadap
mereka, bukankah mereka juga patut membalas budi baik orang lain dengan
cara yang sopan dan santun?
Renungkanlah. Mustahil Tuhan menciptakan umatnya untuk membunuh orang
lain, yang juga ciptaanNya. Agama itu keamanan. Semua agama berkata begitu.
Mengapa kekacauan yang dicari?
Bukankah mudah untuk rakyat Malaysia, sama ada yang Melayu atau kaum
lain, sama ada yang Islam atau agama lain, untuk berfikir demikian?