PRM bukan
parti sosialis
Partai Rakyat Malaya yang ditubuhkan oleh Ahmad Boestaman dan beberapa
pemimpin nasionalis progresif Melayu pada tahun 1955 mengalami
pelbagai tekanan dan penindasan daripada pemerintah Perikatan
yang didokong oleh Umno, MCA dan MIC.
Setelah ditohmah teruk dengan propaganda yang menakut-nakutkan rakyat
dan apabila ramai pemimpin Partai Rakyat ditahan oleh pemerintah,
parti yang berteraskan Marhaenisme (ideologi ala sosialis yang
mengutamakan kaum tani dan nelayan serta buruh ciptaan Sukarno)
dan Sosialisme itu menjadi lemah dalam kemelut politik negara
sepanjang tahun 1960an.
Apabila Boestaman ditahan untuk kali ketiga oleh pemerintah, dan
menjadi Ahli Parlimen pertama ditahan di bawah Akta Keselamatan
Dalam Negeri (ISA), Partai Rakyat terpaksa memilih pimpinan baru.
Dan golongan intelek yang baru itu mendapati diri mereka tidak dapat
bekerjasama dengan Boestaman, walaupun beliau kembali menjadi ketua
selepas dibebaskan dari tahanan.
Menurut catatan sejarah yang disediakan oleh Parti Rakyat Malaysia
(PRM):
"Beberapa perbezaan telah timbul di antara beliau dengan
pemimpin-pemimpin muda ini. Akhirnya Boestamam berundur dari PRM
untuk menubuhkan Parti Marhein, dan Kassim Ahmad mengambil alih
kedudukannya sebagai Ketua PRM.
"Kassim telah membawa perubahan radikal kepada PRM. Beliau dapat
mempengaruhi parti menukar namanya kepada Partai Sosialis Rakyat
Malaya (kemudian Malaysia) dan menerima Sosialisme Saintifik
sebagai ideologinya.
"Pertukaran ini memudahkan para pemimpin pemerintah dan juga pihak
polis melemparkan berbagai tuduhan dan fitnah terhadap parti.
Kononnya, parti mirip komunis dan semua pemimpinnya tidak mempercayai agama. Atas
tuduhan-tuduhan yang palsu, ramai pemimpin dan penyokong parti terus
ditahan dengan menggunakan ISA yang zalim itu. Sebahagian rakyat
bertambah memandang serong dan takut akan PSRM yang begitu banyak
sekali dimomok-momokkan.
"PRM semakin lemah dan dikesampingkan. Pada tahun 1986 Kongres di
Johor Baharu membuat keputusan supaya Jawatankuasa Pusat mengkaji
kedudukan parti dan membuat perakuan. Beberapa pertemuan dan
perbincangan telah diadakan di antara pemimpin dengan kader dan
anggota.
"Akhirnya, dalam Kongres 1990 di Kuala Lumpur telah dibuat keputusan
untuk menggugurkan "Sosialis" dan kembali kepada nama asal, iaitu
Parti Rakyat Malaysia. Selain itu ideologi itu pun digugurkan dari
perlembagaan parti. Cita-cita dan tujuan-tujuan parti dipinda, supaya
parti berasaskan kepada program yang lebih luas.
"Sungguhpun pindaan perlembagaan dan perubahan pimpinan telah
dilakukan, akan tetapi PRM masih lemah. Terdapat berbagai faktor yang menyebabkan
kelemahan ini. Ada faktor luaran dan ada faktor dalaman. Di antara
faktor luaran yang penting ialah: (a) momokan terhadap sosialisme, (b)
tekanan ke atas parti, dan (c) kesan politik perkauman. Momokan dan
tohmahan palsu terhadap parti banyak dilakukan berdasarkan
ideologinya.
"Sekarang ini, walaupun PRM telah menggugurkan sosialisme, namun
pemimpin-pemimpin UMNO (seperti yang terbukti dalam beberapa pilihan
raya umum) masih memburukkan parti dengan mengatakan kononnya ia
terlalu radikal bahkan dipengaruhi oleh faham komunis."
Walau apa pun alasan yang diberikan oleh PRM, khususnya melalui
presidennya Dr Syed Husin Ali, apa yang jelas ialah PRM bukan lagi
sosialis.
Walaupun PRM dikatakan kembali kepada nama asalnya, catatan
perlembangaan pertama Partai Rakyat pada tahun 1957 jelas menunjukkan
bahawa Partai Rakyat berideologikan sosialisme (atau sosializem,
mengikut ejaan pada tahun 1957 sebagaimana yang tercatat dalam
perlembagaan parti tersebut).
Agak menyedihkan kerana masih ada golongan daripada generasi muda yang
masih mahu hidup dalam angan-angan kononnya PRM adalah parti sosialis
sedangkan kepimpinan PRM sendiri bersusah payah membuang nama dan
ideologi sosialisme daripada perjuangannya.
Terbukti juga hasil daripada membuang "sial" itu tidak mendatangkan
apa-apa faedah kerana PRM tidak dianggap saingan serius dalam arena
politik negara. Kali terakhir PRM memenangi pilihanraya ialah pada
tahun 1969, sewaktu ia masih dikenali sebagai PSRM.
Dengan membuang "S" daripada parti, PRM masih belum dapat memikat hati
rakyat yang kononnya dikatakan takut kepada ideologi sosialisme.
Bukankah ahli politik atau pejuang rakyat yang dipilih dan dihormati
rakyat ialah mereka yang benar-benar bekerja dan membanting tulang
untuk rakyat?
Apa guna menyalahkan itu dan ini jika tidak sanggup turun ke padang
bersama rakyat tanpa takut atau bimbang. Jika takut dilambung ombak,
jangan berumah di tepi pantai.
Sekalung bunga kita berikan kepada pemimpin dan ahli PRM kerana terus
tekad berjuang sejak sebelum Merdeka tetapi kita berharap pucuk
pimpinan parti harus menjelaskan kepada generasi muda bahawa parti
itu bukan lagi parti yang menjadi mangsa tohmahan dan penindasan
pemerintah semata-mata kerana ideologi mereka mengancam dasar
perkauman kerajaan, sejak dari Perikatan hingga ke Barisan Nasional.
kenyataan dr syed husin ali, presiden parti rakyat malaysia (prm)
pada 23 oktober 1999
Setiap kali Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir membuka mulut
tentang Parti Rakyat Malaysia (PRM) dalam rapat umum atau sidang
media, beliau akan menyebutnya sebagai Parti Sosialis Rakyat
ataupun Parti Sosialis saja.
Saya tidak tahu sama ada beliau sengaja melakukakannya dengan tujuan
tertentu ataupun memang jahil tentang perkara ini.
Sekiranya disengajakan, kami meminta beliau memberhentikan putar-belit
ini. Sekiranya kerana jahil atau tidak sempat mengikuti perkembangan
kecil ini kerana selalu sangat berada di luar negeri, baik kami
beritahu beliau sekarang bahawa PRM telah kembali kepada nama
asalnya, iaitu Parti Rakyat pada tahun 1990.
Nama ini telah digunakan sejak PRM ditubuhkan pada tahun 1955. Namanya
sekarang bukan lagi Parti Sosialis Rakyat, sebagaimana yang diubah
pada tahun 1970 dulu.
Begitu juga namanya bukan Parti Sosialis. Ini ialah nama sebuah parti
baru, yang malangnya masih belum dibenarkan pendaftarannya oleh
pemerintahan BN.
Saya meminta pada masa akan datang agar Dr Mahathir dan semua media
yang melaporkannya memberikan nama yang tepat, iaitu Parti Rakyat
Malaysia (PRM).